SERI KEMBANGAN: Keseronokan lima beranak menjala ikan di sebatang sungai di sini bertukar tragedi apabila tiga daripadanya dikhuariti lemas selepas dihanyut arus dalam kejadian kepala air pada petang Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan, mangsa kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemukan oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 7.01 petang tadi.

"Mangsa ditemukan dalam jarak satu kilometer dari lokasi disyaki jatuh. Manakala, ibu mangsa yang berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun dikhuatiri hilang," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Jelas Ahmad Mukhlis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.35 petang daripada suami mangsa, Ahmad Suraidi, 40 tahun, yang terselamat.

Bertindak berdasarkan laporan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dibantu BBP Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada jam 5.18 petang, mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam.

Ahmad Mukhlis menambah operasi SAR sedang diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Kesemua mangsa merupakan warganegara Indonesia.